Monday, October 17, 2011

METRO AHAD - "Kebangkitan JYJ - Soal Emosi JYJ"

TERKENAL seantero dunia, melakar pelbagai kejayaan dan digilai jutaan peminat. Sudah puluhan konsert dijayakan di serata dunia sejak muncul dengan album The Beginning bahkan lagu baru sekelip mata mendominasi carta sebaik dilancarkan.

Bukan sekadar aktif di dunia seni suara, kumpulan pop terhangat Korea, JYJ juga cemerlang di dunia lakonan hingga ia mencetus satu fenomena. Siri Sungkyunkwan Scandal, Miss Ripley dan Protect The Boss mengangkat ikonik ini ke satu fasa lebih selesa. Pendek kata apa yang berkaitan dengan JYJ, pasti sukses dan diiktiraf terbaik. Itulah magis JYJ yang dianggotai tiga anak muda iaitu Jae Joong, Yuchun dan Junsu.

Namun di sebalik cerita manis itu, siapa sangka idola ramai ini menghadapi masalah muncul di kaca TV Korea. Peminat boleh melihat aksi mereka sebagai pelakon tetapi tidak sebagai penyanyi. Biarpun rakaman persembahan sudah dibuat ia tidak disiarkan. Kejam bunyinya tetapi itulah yang menimpa JYJ.

Halangan ini bermula apabila tiga jejaka berusia 25 tahun ini memfailkan saman terhadap agensi SM Entertainment kerana ketidakadilan kontrak. Durasi kontrak 13 tahun yang tidak masuk akal, jadual kerja terlampau ketat serta pembahagian royalti yang tidak adil antara punca utama mereka menuntut pembebasan. Tuntutan itu bukan yang pertama kerana sebelum ini Hangeng, bekas ahli Super Junior dan kumpulan Hot mengambil tindakan sama.


Biarpun mahkamah membenarkan JYJ meneruskan aktiviti hiburan seperti biasa sementara menanti kes selesai, tidak ada satu pun stesen TV yang sanggup mengambil risiko. Keputusan kuasa birokrasi itu amat dikesali JYJ kerana sewajarnya sebagai kumpulan paling popular mereka diberikan peluang dan hak yang sama seperti teman artis lain.

Pun begitu, tuah berpihak kepada JYJ apabila mendapat sokongan padu peminat.
Apabila ada unsur ketidakadilan berlaku, peminat setia mereka akan melaporkannya ke Suruhanjaya Hal Ehwal Perdagangan Korea, Persatuan Pengguna Korea, Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO). Isu tidak dibenarkan muncul di TV sempena mempromosikan Pulau Jeju turut dibawa ke tengah dan keberanian luar biasa peminat JYJ cukup dikagumi penggiat seni negara itu.

Demi kecintaan terhadap JYJ, peminatnya turut berjaya mengumpul dana lebih RM384,000 bagi mempromosikan kumpulan itu dengan meletakkan iklan di bas, akhbar di Korea dan iklan TV digital di Shibuya dan Tokyo, Jepun.

Kesungguhan itu membuahkan hasil yang cukup positif. Tanpa sebarang promosi di TV atau media masa, jualan album terbaru JYJ iaitu In Heaven mencatat lebih 300,000 unit sekali gus mendahului album artis lain bahkan tiket konsert JYJ Jelajah Dunia sempena pelancaran In Heaven di Jepun semalam dan hari ini (sebanyak 60,000 tempat duduk) habis dijual. Jualan tiket di lokasi berikutnya iaitu Barcelona juga terjual melebihi 80 peratus manakala laman sesawang jualan tergendala pada hari pertama untuk konsert di Berlin gara-gara mendapat sambutan hangat.
"Kami berterima kasih kepada peminat. Mereka setia di sisi kami baik ketika susah mahupun senang malah sentiasa menyokong setiap konsert yang kami jayakan.
Setiap kali melihat peminat memenuhi ruang stadium tidak kira di mana konsert berlangsung, hati kami pasti tersentuh."

"Suasana itu membuatkan kami sedar bahawa kami tidak keseorangan dalam menghadapi dugaan demi dugaan. Melihat semangat mereka, kami jadi semakin kuat dan berazam tidak akan berputus asa. Kami akan terus berjuang demi peminat", kata Junsu sambil menjelaskan In Heaven adalah tanda terima kasih JYJ buat peminat.

Kumpulan yang menjadi rebutan banyak syarikat sebagai duta, antaranya, teh TiO, syarikat telekomunikasi LG, jenama baju popular NII, gedung terbesar Korea iaitu Lotte dan barangan solekan Nature Republic itu menandingi kemampuan artis sedia ada kerana mereka bukan saja boleh menyanyi serta menari tetapi berkebolehan dalam mencipta lagu. Ini terbukti apabila hampir 80 peratus lagu dalam In Heaven dihasilkan oleh mereka.

Menurut Jae Joong, album terbaru JYJ umpama sepucuk surat yang menceritakan semua kisah gembira dan keperitan yang dilalui. Melodi dan lirik menyuarakan betapa berkecamuk emosi dan harapan mereka untuk berjaya.

"Kami tidak boleh muncul di TV, jadi konsert menjadi medan kami bertemu dengan peminat dan memberikan persembahan terbaik. Jujur, lagu dalam album ini semuanya untuk nyanyian di konsert."

"Album ini lahir ikhlas daripada hati dan sebagai produser album kami bekerjasama dalam menentukan nuansa sebenar bagi menggambarkan jatidiri JYJ.
Dalam album ini turut dimuatkan sebuah lagu rap berdurasi lapan minit berjudul 'A Song Without A Name' hasil tulisan Yuchun. Liriknya menjelaskan mengapa kami tekad meninggalkan SM Entertainment dan memilih untuk berdikari", katanya.

Tambah Yuchun, lirik yang dihasilkannya adalah satu kebenaran dan ia adalah luahan kecewa mereka terhadap bekas agensi pengurusan yang tidak bersikap adil terhadap mereka. Antara bait lirik yang mahu dikongsi bersama peminat, biarpun jalan yang dipilih sukar tetapi hati mereka tenang. Bagi mengelakkan menyesal di kemudian hari, ada baiknya dia meneruskan perjuangan bersama JYJ.

"Sebagai manusia satu hari nanti saya akan mati dan saya tidak mahu menyesal.
Ketika bersama kumpulan lama, usaha kami tidak dihargai malah kebebasan kami disekat. Sunyi dan air mata mengiringi kembara seni kami".

"Di kala kejayaan demi kejayaan ditempa, rasa kian terkongkong bahkan janji manis yang ditabur yang kononnya 'kita' keluarga hanyalah sekadar kata-kata.
Sepatutnya mereka sentiasa ada untuk kami dan itulah yang dijanjikan tetapi apabila kami menyuarakan apa yang kami mahu, mereka tidak terima bahkan tidak peduli. Terbukti apabila mereka perlukan kami wujud istilah 'kita keluarga' tetapi apabila kami memerlukan mereka, kami umpama orang asing".

"Kami lega dengan wujudnya JYJ. Biarpun hilang 'keluarga' tetapi kami ada kelompok yang lebih menyayangi dan menghargai kami iaitu peminat", kata Yuchun.

Album terbaru yang menjengah pasaran pada 27 September lalu mencatat satu lagi sejarah baru bagi JYJ apabila sembilan lagu termasuk Get Out, Fallen Leaves dan In Heaven dalam bentuk digital meraih jualan tertinggi di pelbagai laman sesawang muzik utama di Korea seperti Melon, Mnet, Bugs, Dosirak dan Cyworld BGM.

TRIVIA JYJ:
  • Dianggotai Kim Jae Joong, Park Yuchun dan Kim Junsu
  • Park Yuchun menerima 7 anugerah termasuklah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Baru Terbaik menerusi siri popular Sungkyunkwan Scandal. Dia juga muncul sebagai Artis Paling Popular di Asia, Seoul Drama Awards 2001 apabila meraih 450,000 undian.
  • Seramai 200,000 peminat menyaksikan Konsert JYJ Thanksgiving selama empat malam di Tokyo Dome dan Kyocera Dome.
  • Konsert JYJ di tujuh negara termasuklah 10 bandar terkemuka iaitu New York, Las Vegas, Los Angeles, Vancouver, Bangkok, Taipei, Hong Kong dan Beijing disaksikan 100,000 penonton.
  • Biarpun konsert penutup di Seoul dihujani salji dengan catatan suhu -1°C, 70,000 peminat hadir menyaksikannya. 
  • Album sulung, The Beginning mendapat tempahan sebanyak 500,000 unit manakala In Heaven pula mencatat tempahan 350,000 dan permintaan terus bertambah. 
  • Buku dan CD The Music Essay: Our Room mendapat tempahan sebanyak 150,000 unit.
  • Sempena pelancaran album In Heaven, JYJ memulakan Konsert JYJ Jelajah Dunia di Tokyo semalam dan hari ini, Barcelona, Sepanyol (20 Oktober 2011) dan Berlin, Jerman (6 November 2011).
  • Ketika bersama TVXQ, Jae Joong, Yuchun dan Junsu memenangi pelbagai anugerah muzik serta memecah pelbagai rekod. Lima album Korea, lima album Jepun dan lebih 20 single Korea serta Jepun mencecah jualan 9.1 juta unit. Kumpulan ini juga mengadakan persembahan di puluhan stadium bagi menghiburkan ratusan ribu peminat di serata dunia. 
  • TVXQ pelopor ‘Hallyu Wave’ di Asia bahkan ia kumpulan pop pertama Korea mengadakan konsert di Malaysia pada 2006 dan 2007.
Source : Metro Ahad

No comments:

Post a Comment